Ibadah dalam Islam: Ibadah Umum dan Ibadah Khusus


ASSAALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKAATUH AHLAN WASAHLAN WA MARHABAN BIKUM. 

ibadah dalam Islam, ibadah umum, ibadah khusus

Ibadat dalam Islam mempunyai ciri-ciri tersendiri yang berbeza sama sekali daripada konsep ibadah dalam agama dan kepercayaan yang lain. Antara ciri-ciri tersebut adalah tidak ada sebarang perantaraan antara Allah dan manusia dan ibadat dalam Islam tidak terikat dengan sesuatu tempat atau masa yang tertentu.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: "Tidaklah Aku jadikan jin dan manusia, kecuali agar mereka beribadah kepadaKu"(Az-Zariyat:56)

Ibadah dalam Islam terbahagi kepada dua iaitu Ibadah Umum dan Ibadah Khusus. Kedua-duanya penting bagi umat Islam untuk dilakukan supaya dapat menjamin kedudukan di akhirat dan menjadi kewajipan seorang hamba kepada ALLAH SWT.

Ibadah khusus, iaitu perkara yang wajib dilakukan oleh orang Islam sebagai satu cara mengabdikan diri kepada ALLAH SWT. Ia merupakan perintah-perintah yang wajib dilakukan sebagaimana yang terkandung dalam Rukun Islam seperti seperti solat, puasa, zakat, haji dan beberapa amalan khusus seperti tilawah Al-Quran, zikir dan seumpamanya.

Ianya bersifat taufiqiyyah, iaitu dilaksanakan menurut garis-garis yang ditunjukkan oleh Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasallam dan berhenti setakat sempadan yang telah ditentukan oleh syara' dan sebagaimana yang dilakukan sendiri oleh Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasallam tanpa boleh ditambah atau dikurangkan atau membuat sebarang perubahan terhadapnya.

Ibadah khusus ada banyak jenis. Ada ibadah khusus yang berkaitan dengan waktu-waktu khusus seperti solat fardhu. Ada yang berkaitan dengan kekhususan tempat dan waktu seperti menunaikan haji. Ada berkaitan dengan kekhususan tempat seperti solat tahiyyatul masjid.

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: "Sembahyanglah kamu sebagaimana kamu melihat aku sembahyang."(Sahih Bukhari)

Ibadah umum pula adalah segala perkara atau amalan selain daripada kumpulan ibadah khusus di atas di mana ia dilakukan semata-mata untuk mencari keredaan ALLAH SWT. Ini termasuklah seluruh perbuatan manusia dalam kehidupan sehariannya. 

Ibadah-ibadah yang tidak mengikut pengkhususan di atas, bersifat mutlah yang boleh diamalkan, selagi tidak ada dalil-dalil yang mengharamkannya untuk dilaksanakan pada tempat-tempat tertentu, atau pada masa-masa tertentu, atau pada individu-individu tertentu dengan sebab ada mani/halangan.

Antara ibadah umum adalah solat sunat mutlak dan puasa sunat mutlak. Selama tidak ada dalil yang mengharamkan pelaksanaannya, maka ia sunat dilakukan. Contoh sesuatu ibadah sunat mutlah yang haram adalah puasa sunat pada Hari Raya. Hal ini kerana terdapatnya dalil pengharaman tentang puasa pada hari tersebut. Begitulah seterusnya.

Zikir adalah termasuk ibadah umum yang boleh dilakukan di mana sahaja, dalam bentuk apa sahaja, selagi bentuk-bentuk dan cara pelaksanaannya tidak ada nas yang mengharamkannya. Jika terdapat nas yang mengharamkannya, justeru zikir adalah haram diucapkan. 

Sebagai contoh, ada dalil yang melarang zikir dengan lisan di dalam tandas. Oleh itu perbuatan berzikir secara lisan adalah haram selama dia berada di dalam tandas. Sebaliknya, jika terdapat dalil umum yang mengharuskan sesuatu ibadah sunat itu dan tidak ada pula dalil pengharaman dalam segala aspek, maka ibadah umum tersebut dibenarkan untuk diamalkan.

Ada juga sesetengah dari ulamak menambahkan ibadah ini kepada beberapa lagi jenis ibadah. Walaubagaimanapun, ketiga-tiga jenis ibadah di atas kita rangkumkannya dalam sejenis ibadah umum. Jenis ibada lain itu adalah:
  1. Ibadah Badaniah: tubuh badan seperti sembahyang, menolong orang dalam kesusahan dan lain-lain.
  2. Ibadah Maliyah: harta benda seperti zakat, memberi sedekah, derma dan lain-lain
  3. Ibadah Qalbiyah: hati seperti sangka baik, ikhlas, tiada hasad dengki dan lain-lain

Terdapat beberapa syarat amal yang disenaraikan untuk mendapat status ibadah. Yusuf Al-Qardhawi di dalam bukunya, Ibadah Dalam Islam, telah memberikan syarat-syarat supaya sesuatu perbuatan itu mendapat status ibadah:
  1. Amalan-amalan yang dikerjakan itu mestilah bersesuaian dengan hukum Islam dan tidak bercanggah dengan hukum tersebut.
  2. Amalan tersebut dilakukan dengan niat yang baik atau kerana ALLAH SWT.
  3. Amalan tersebut mestilah dilakukan dengan seelok-eloknya bagi menepati oleh Rasulullah SAW: "Sesungguhnya ALLAH suka apabila seseorang daripada kamu membuat sesuatu kerja dengan memperelokkan kerjanya" (HR Muslim)
  4. Ketika membuat amalan tersebut, hendaklah sentiasa menurut hukum-hukum syara dan ketentuan batasnya, tidak menzalimi orang lain, tidak khianat, tidak menipu, tidak menindas orang lain dan merampas hak-hak orang.
  5. Tidak mengecualikan ibadah-ibadah khusus seperti solat, zakat dan sebagainya dengan melaksanakan ibadah-ibadah umum
Sesungguhnya ibadah dalam Islam tidak hanya terbatas kepada solat, zakat, puasa, haji, berzikir, berdoa dan beristighfar sebagaimana yang difahami oleh setengah-setengah golongan dalam kalangan umat Islam. Kebanyakan mereka menyangka bahawa apabila mereka telah menunaikan perkara-perkara fardhu bererti mereka telah menyempurnakan segala hak ALLAH SWT dan kewajipan 'ubudiyyah' terhadapNya.

Sebenarnya, kewajipan-kewajipan yang besar dan rukun-rukun asasi walaubagaimana tinggi kedudukannya, ia hanyalah sebahagian daripada tuntutan 'ibadah kepada ALLAH SWT'. Ia tidak merupakan seluruh ibadah yang ditetapkan oleh ALLAH SWT kepada hamba-hambaNya. Kewajipan-kewajipan tersebut adalah tiang-tiang utama bagi mengasaskan dasar-dasar 'ubudiyah manusia kepada ALLAH SWT'. Selepas itu, adalah dituntut bahawa setiap tindakan yang dilakukan olehnya mestilah selaras dengan dasar-dasar tersebut serta mengukuhkannya.

Manusia telah dijadikan oleh ALLAH SWT dengan tujuan untuk beribadah kepada ALLAH SWT. Oleh itu, tujuan ini hanya dapat dilaksanakan oleh manusia sekiranya ruang lingku ibadah dan daerah-daerahnya cukup luas sehingga ia meliputi seluruh kehidupan manusia itu sendiri.

Ibadah dapat meningkatkan keimanan seseorang dengan cara yang tersendiri. Setiap bentuk ibadah yang berbeza mengandungi cara yang berbeza dalam meneguh dan menguatkan keimanan. Untuk memudahkan penerangan mengenai cara ibadah menguatkan keimanan seseorang dan dapat mencegah perkara mungkar, saya akan menerangkannya berdasarkan cara-cara beribadah yang berbeza seperti di bawah.

Pertama sekali dalam solat. Tujuan utama solat adalah untuk mengingati ALLAH SWT. Maksud firman ALLAH SWT:"Dan dirikanlah solat untuk mengingatiKU." (Surah Taha: 14). "Ingati ALLAH" yang dimaksudkan di sini adalah merasakan kehadiran ALLAH SWT dalam diri sehingga menimbulkan rasa takut, kagum, malu, hina dan sangat berharap kepada ALLAH SWT dalam hati.

Dengan bersolat kita akan dapat menghadirkan rasa rendah diri kerana kita akan sedar betapa kecil dan hinanya kita apabila berhadapan dengan ALLAH SWT. Hal ini secara tidak langsung akan meningkatkan keimanan kita sebagai seorang Muslim. 

Apabila kita bersolat dengan khusyuk dan tawadduk, kita akan dapat membezakan antara yang hak dan batil. Kita akan dapat membezakan hal kebenaran dan keburukan. Maka, secara automatiknya, kita akan dapat menghindarkan diri kita sendiri daripada melakukan perkara kemungkaran.

Bercakap mengenai puasa pula. Terdapat pelbagai kelebihan yang terdapat dalam puasa. Hal ini telah berjaya dibuktikan dengan kaedah saintifik bahawa puasa dapat meningkatkan taraf kesihatan manusia. Tujuan puasa adalah untuk melahirkan sifat taqwa dengan hukum-hukum ALLAH SWT.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti mana orang yang terdahulu daripada kamu agar kamu menjadi orang yang bertaqwa" (Surah Al-Baqarah 2:183).

Dengan sifat taqwa seseorang akan naik "darjatnya" di sisi ALLAH SWT. Dengan berpuasa kita akan dapat merasai penderitaan orang-orang yang tidak dapat menikmati hidangan enak dan lazat seperti yang kita dapat setiap hari. Hal ini akan melahirkan rasa syukur dalam diri dan menguatkan iman di hati kita. 

Orang beriman adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada pada dirinya. Apabila kita bersyukur, kita akan berusaha sedaya upaya untuk menzahirkan rasa syukur tersebut. Justeru itu, kita akan berusaha melakukan perkara yang diperintahkan oleh ALLAH SWT dan meninggalkan laranganNYA yakni perkara-perkara mungkar.

Beralih pula kepada ibadat zakat. Tujuan utama mengeluarkan zakat adalah untuk melatih hati agar mampu memberi kepada orang lain. Sesungguhnya dalam rezeki kita yang melimpah ruah itu, sebahagiannya adalah milik orang lain. Sasaran ibadah zakat ialah untuk melunturkan sifat tamak, rakus dan pentingkan diri dalam diri manusia.

Zakat itu bermaksud 'bersih'. Zakat fitrah adalah untuk membersihkan diri manakala zakat harta untuk membersihkan harta. Dengan kebersihan diri dan harta ini akan bersihlah hati seseorang daripada kekotoran sifat mazmumah. Sifat-sifat mazmumah inilah yang menjadi dalang kepada perbuatan-perbuatan mungkar yang kita lakukan.

Jadi, apabila sifat mazmumah berjaya dihapuskan dengan memberi zakat, kita akan sedar bahawa harta yang banyak tidaklah begitu penting jika hendak dibandingkan dengan ibadah. Apabila kita membayar zakat, kita akan berjaya melawan hawa nafsu dan rasa tamak pada harta. Apabila kita berjaya melawan hawa nafsu ini, ia menandakan yang kita telah berjaya meningkatkan keimanan dalam diri kita.

Ibadah haji dan korban pula meletakkan hati sebagai sasaran. Haji hakikatnya adalah kembara seorang hamba membawa hatinya menuju kepada ALLAH SWT. Ibadah korban bertujuan menyembelih rasa cinta selain ALLAH SWT dalam hati manusia untuk hanya mencintai ALLAH. 

Apabila kita menjalankan ibadah haji walaupun memerlukan kos yang tinggi bagi penduduk luar Mekah, kita akan berjaya menzahirkan rasa kehambaan kita kepada ALLAH SWT. Manakala apabila kita menyembelih binatang peliharaan yang menjadi kesayangan kita, kita akan membuktikan bahawa tiada cinta lain yang lebih tinggi daripada cinta kita terhadap ALLAH SWT. 
Firman ALLAH SWT dalam al-Quran yang bermaksud: "Daging dan darah korban itu tidak sampai kepada ALLAH, tetapi apa yang sampai adalah hati yang bertaqwa".
Setakat ini dulu. Semoga kita rajin beribadah dan ibadah kita diterima oleh ALLAH SWT. Semoga ibadah yang kita lakukan membantu kita di akhirat kelak. Amiin.

Comments

  1. U've helped me. I got an exam btw . Hehe. CTU101

    ReplyDelete
  2. mohon ambil sedikit info saudari untuk tugasan saya ^^

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum. Pertamanya, terima kasih kerana berkongsi maklumat mengenai ibadat khusus dan juga ibadat umum.

    Walau bagaimanapun, saya ingin tegaskan di sini bahawa artikel ini ialah berkaitan agama Islam. Jadi, apabila saudari menulis tentang agama ia mestilah tidak boleh direka-reka dan mempunyai sumber rujukan yang boleh dipercayai. Jadi, sebagai seorang penulis artikel berkaitan agama, maka menjadi tanggungjawab saudari untuk berpegang kepada disiplin-disiplin penulisan agama yang telah ditetapkan.

    Setelah membaca artikel ini, terdapat beberapa perkara yang perlu saudari ambil perhatian yang serius dan perbetulkan.

    1. Pertamanya, adalah amat penting bagi saudari menulis sumber rujukan iaitu daripada kitab atau buku yang mana satu maklumat ditulis dalam artikel ini diambil. Hal ini supaya penulisan berkaitan agama ini bukanlah hanya diambil daripada laman web lain, kemudian diterbitkan semula dalam laman web saudari.

    2. Keduanya, apabila mahu menulis artikel berkaitan agama, sila pastikan saudari betul-betul memahami apa yang ditulis. Silalah rujuk mana-mana guru agama yang bertauliah bagi mendapatkan kefahaman yang betul sebelum menulis artikel tersebut. Hal ini sangat penting bagi mengelakkan apa yang kita tulis lari daripada konteks sebenar yang dikehendaki dalam agama Islam.

    3. Penerangan mengenai ibadat khusus dan juga ibadat umum adalah kurang lengkap dan sedikit tersasar daripada kefahaman yang sepatutnya.

    4. Semasa menerangkan ibadat umum, saudari telah menulis seperti berikut:

    "Ibadah-ibadah yang tidak mengikut pengkhususan di atas, bersifat mutlah yang boleh diamalkan, selagi tidak ada dalil-dalil yang mengharamkannya untuk dilaksanakan pada tempat-tempat tertentu, atau pada masa-masa tertentu, atau pada individu-individu tertentu dengan sebab ada mani/halangan."

    Namun, saudari tidak menerangkan dengan jelas apa itu ibadat yang bersifat mutlah.

    ReplyDelete
  4. (SAMBUNGAN)

    5. Seterusnya, saudari juga telah menerangkan dalam ibadat umum:

    "Antara ibadah umum adalah solat sunat mutlak dan puasa sunat mutlak. Selama tidak ada dalil yang mengharamkan pelaksanaannya, maka ia sunat dilakukan. Contoh sesuatu ibadah sunat mutlah yang haram adalah puasa sunat pada Hari Raya. Hal ini kerana terdapatnya dalil pengharaman tentang puasa pada hari tersebut. Begitulah seterusnya."

    Sebenarnya, ibadat seperti solat sunat bukanlah termasuk dalam ibadat umum. Sebaliknya, ia adalah ibadat khusus. Jawapannya adalah kita perlu kembali semula kepada konsep ibadat iaitu semua ibadat adalah haram kecuali apabila telah dinyatakan dengan jelas dalilnya oleh Al-Quran atau hadis. Jadi, solat sunat yang ingin dilakukan juga mestilah berpandukan nas-nas yang sahih dan tidak boleh sama sekali kita melakukan inovasi dalam amalan sunat ini. Contohnya tidak boleh puasa sunat setengah hari sahaja. Puasa, walaupun sunat mesti mengikut syariat yang telah ditetapkan. Jadi, ibadat seperti solat sunat dan puasa sunat termasuk dalam ibadat khusus bukanlah ibadat umum.

    6. Saudari juga telah menyatakan bahawa terdapat ulama yang membahagikan lagi ibadat umum kepada 3 bahagian:

    "Ada juga sesetengah dari ulamak menambahkan ibadah ini kepada beberapa lagi jenis ibadah. Walaubagaimanapun, ketiga-tiga jenis ibadah di atas kita rangkumkannya dalam sejenis ibadah umum. Jenis ibadah lain itu adalah:
    1. Ibadah Badaniah: tubuh badan seperti sembahyang, menolong orang dalam kesusahan dan lain-lain.
    2. Ibadah Maliyah: harta benda seperti zakat, memberi sedekah, derma dan lain-lain.
    3. Ibadah Qalbiyah: hati seperti sangka baik, ikhlas, tiada hasad dengki dan lain-lain."

    Namun, yang menjadi persoalan ialah adakah ibadah badaniah, ibadah maliyah dan ibadah qabliyah itu termasuk dalam ibadat umum atau khusus?

    Atau adakah dalam ibadah badaniah, ibadah maliyah dan ibadah qabliyah itu terdapat pembahagian ibadat khusus dan juga ibadat umum?

    7. Saya berharap, selepas ini saudari akan lebih berhati-hati apabila mahu menulis sebarang artikel berkaitan agama. Kita tidak mahu, niat mahu mendapat pahala daripada perkongsian kita tentang agama ini. Namun, apa yang kita perolehi ialah sebaliknya.

    Akhirnya, saya memohon maaf sekiranya teguran saya ini agak kasar. Apapun, niat saya adalah supaya setiap penulis yang ingin menulis berkaitan agama Islam ini mesti memandang berat tanggungjawab dan bebanan apabila yang kita tulis itu tidak menepati apa yang sebenarnya.

    Silalah membuat rujukan terlebih dahulu.

    Semoga saudari mendapat taufiq dan hidayah dari Illahi.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

IF I MAY CHANGE THE WORLD

Test Market Atas Manusia

Persiapan Untuk Anak-anak Ke Sekolah; Taska dan Tadika